Di mana sahaja kita berada di
pelusuk dunia, pasti akan ada orang yang mengenali Bilal Bin Rabah.
Kelahirannya dari bumi Habsyah, mengikut riwayat lain, dari negara hijaz.
Kulitnya berwarna hitam, ternyata
hatinya putih berseri dengan basuhan wudu’ yang tidak pernah diabaikannya sejak
keislamannya. Terbukti dengan kisah Isra’ dan Mikraj Nabi SAW yang mendengar
tapak kakinya di dalam syurga, walhal beliau masih hidup di bumi yang maha
fana’.
“Wahai bilal, apakah amalan yang
kamu tidak pernah tinggal? Sesungguhnya Aku mendengar tapak kakimu sudah berada
dalam syurga” Nabi SAW bertanya setelah pulang
dari perjalanan Isra’ dan Mikraj.
Bilal menjawab, “Aku tidak akan
melakukan azan melainkan aku akan solat dua rakaat. Apabila aku berhadas, pasti
aku akan berwudu’, selepas itu, aku akan menunaikan solat dua rakaat”.
Beliau menjadi hamba kepada seorang
tokoh besar kafir, Umayyah bin Khalaf. Seorang yang sangat membenci Islam.
Berani dengan orang lemah, tetapi takut dengan orang yang berkuasa.
Semasa bilal masih hamba, berita
keislaman bilal menyebabkan dia menjadi berang, sehingga sanggup menyeksa bilal
sezalim-zalimnya. Dia menelanjangkan bilal, lalu mencampakkan tubuh yang tidak
seurat benang itu ke padang pasir yang kepanasan. Di letakkan batu yang berat
di dada bilal, sehingga sendat penafasan Bilal. Tidak dapat dilafaz, melainkan
“ahad, ahad dan ahad” sahaja, sebagai tanda ketauhidan bilal terhadap Allah
SWT.
Abu Bakar As-Siddiq R.A melihat
kezaliman Umayyah yang sudah sampai ke tahap luar dari peri kemanusiaan, malah
peri kebinatangan, menyebabkan Abu Bakar telah membeli Bilal, malah
memerdekakannya.
Bilal terselamat dari seksaan
Umayyah, tetapi kejahatan Umayyah tidak berhenti sekadar itu, malah berterusan
pula dilakukan terhadap keluarga Ammar bin Yasir sehingga berlaku pembunuhan
terhadap bapa Ammar, Yasir dan ibunya, Sumayyah binti Al-Khayyat.
Umayyah yang jahat dibunuh Bilal
dalam peperangan Badar, waimma pada asalnya, dia tidak mahu terlibat dalam
peperangan badar tersebut. Dia sudah menjangkakan, kehadirannya dalam
peperangan badar akan menyebabkan dia berketemu dengan Bilal.
Tidak mahu terlibat dalam peperangan
badar, memperlihatkan kekecutan Umayyah yang dilihat berani dihadapan hamba-hamba
yang lemah. Uqbah bin Abi Muayyit memperlekeh Umayyah dengan menggambarkan
Umayyah seperti perempuan.
Diambilnya setanggi wangian,
diperasapkan dihadapan Umayyah seraya berkata, ”wangian setanggi akan melekat
kepada tubuh kamu wahai Umayyah. Ini menandakan, kamu sebenarnya tidak jantan,
tetapi adalah wanita” Abu Muayyit ketawa terbahak-bahak.
Bagai dipelempang ke muka dengan
penghinaan yang dilakukan oleh Abu Muayyit itu, menyebabkan Umayyah terlibat
juga dalam peperangan Badar yang merupakan perang yang terakhir dia sertai,
seterusnya berjumpa dengan tuhan yang maha memberi keadilan.
Umayyah terbunuh dalam peperangan
badar dengan tetakan pedang yang dilakukan oleh Bilal. Sebelum tetakan terkena
lehernya, kelihatan diwajahnya rupa ketakutan, tidak seperti bilal yang
diseksanya dahulu.
Sejak Islam bilal, beliau terlalu
rapat dengan Nabi SAW. kulitnya yang hitam, tidak pernah dijadikan perasaan
’geli geleman’ dalam hati nabi untuk menjadikannya sebagai sahabat yang rapat.
Di saat azan disyariatkan, bilal
yang menyebut kalimah ”ahad, ahad dan ahad” dikala awal keislamannya yang
diseksa oleh kuffar, dilantik oleh Nabi SAW sebagai Muazzin (baca : tukang
azan). Perlantikan yang membawa satu pengiktirafan terhadap keimanan dan
keislaman bilal sehingga ke hari ini.
Selepas kewafatan Nabi, Bilal
bersedih hati yang teramat sangat. Beliau tidak sanggup melihat maqam Nabi SAW.
Apabila dilihat ke Makam nabi, pasti matanya tidak disedari menitiskan air.
Tidak sanggup menahan kerinduan, dia
berjumpa dengan Abu Bakar As-Siddiq yang baru dilantik menjadi Khalifah untuk
meminta izin untuk berpindah ke negara lain. dia tidak bersedia untuk menjadi
muazzin di saat Nabi SAW tidak dapat dilihat lagi.
Dengan pujukan dan rayuan, Abu bakar
As-Siddiq memintanya kekal sebagai muazzin. Dengan berat hati dan
bertanggungjawab, tidak sanggup dia menolak permintaan Abu bakar As-Siddiq yang
menyelamatkannya dari seksaan Umayyah bin Khalaf di awal Islamnya dahulu.
Di awal pemerintahan Umar bin
Al-Khattab menjadi khalifah, permintaan yang sama diajukan oleh Bilal.
Permintaan itu dimakbulkan oleh Umar.
Dia berhijrah ke Syria. Tinggal di
sana, meneruskan sisa hidup dengan berdakwah dan berjihad. Dia tidak
mengabaikan tugasan dakwah yang ditarbiyyah oleh Rasulullah SAW.
Semasa di syria, dia telah bermimpi
berjumpa dengan Rasulullah SAW.
“Wahai Bilal, apakah kamu tidak
merinduiku? Apakah kamu tidak mahu menziarahiku?” soal Nabi Muahmmad SAW dalam
mimpi bilal.
Sedar dari mimpi, bilal kesedihan.
Kerinduannya terhadap Nabi semakin meluap-luap. Air matanya mula menitis. Dia
terus berazam, akan ke Madinah; menziarahi kubur Nabi SAW sebagai cara untuk
menghilangkan kerinduannya terhadap Rasulullah SAW.
Sesampai di Madinah, Bilal terus
meluru ke kubur Nabi SAW. Melihat kubur nabi, hatinya sudah tidak tertahan
lagi, dia menekup mukanya, kelihatan air mata menitis lebat.
Dia berjumpa dengan cucunda Nabi
SAW; hasan dan Husain. Dia memeluk dan mencium kedua-duanya.
Dalam suasana kesedihan itu, Hasan
dan Husain berkata, “Pak Cik bilal, kami terlalu ingin mendengar azan kamu”
Pemintaan dua cucunda Nabi SAW itu
tidak dihampakan. Beliau naik di atas bumbung kaabah dan berdiri. Beliau pun
memulakan laungan azan.
“Allahu akbar, Allahu akbar… Allahu
Akbar, Allahu Akbar” laungan pertama menyebabkan madinah kegamatan. Ramai
rakyat madinah terkejut. Mereka keluar dari rumah masing-masing.
Apabila sampai laungan, “Asyahadu
Anna muhammad Rasulullah” kegamatan madinah itu telah bertukar dengan
kedengaran tangisan manusia.
Tangisan yang berpunca, cari
kerinduan mereka terhadap nabi SAW. kerinduan bersama kekasih Allah yang
merupakan seorang pemimpin yang tercinta. Semasa bilal di Syria, beliau tidak
dilantik menjadi muazzin. Lagipun, sebarang permintaan terhadap beliau untuk
jawatan tersebut, pasti akan ditolak.
Di saat Umar bin Al-Khattab menjadi
Khalifah, beliau telah menziarahi Syria. Memandangkan orang syria tidak pernah
mendengar azan laungan bilal, mereka berjumpa dengan Umar, meminta agar Umar
memohon untuk Bilal melaungkan azannya.
Awalnya, permohonan umar itu ditolak,
tetapi setelah diminta, waimma untuk satu solat sahaja, maka bilal pun akur.
Bilal naik di atas menara, dan memulakan laungan azannya. Sahabat-sahabat Nabi
SAW yang berada di Syria menangis mendengar azan bilal tersebut, sedang orang
yang paling keras menangis ketika itu adalah Umar bin Al-Khattab sendiri.
Inilah bilal bin Rabah, seorang
sahabat yang tidak mempunyai rupa yang cantik, tetapi perjuangannya dalam
memenangkan dan mengembangkan Islam ternyata ikhlas, malah terbukti diterima
oleh Allah SWT semasa hidup beliau lagi.
Beliau meninggal dunia di Syria
sewaktu umurnya 60 tahun lebih. Beliau meninggal dunia pada tahun 20 hijriah.
Mengikut riwayat lain, beliau meninggal dunia pada tahun 21 hijriah.
0 komentar:
Posting Komentar